23 May
23May

Soalan: Menangani Insiden Buli di Sekolah : Tanggungjawab Siapa?

Sumber: Karangan pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Kanowit, Sarawak.

Semua negara, baik negara maju seperti Amerika Syarikat mahupun negara sedang membangun seperti Malaysia tidak pernah terlepas daripada penyakit buli. Buli ialah perbuatan mendera seseorang sama ada secara fizikal ataupun mental. Kebiasaannya, pembuli merupakan seorang yang berpengaruh dan digeruni, manakala mangsa buli pula merupakan seorang yang lemah dan mudah dipermainkan. Hampir setiap hari kita digemparkan dengan berita-berita yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan dengan kes-kes buli yang melibatkan ahli masyarakat. Penglibatan pelajar sekolah sama ada sebagai pembuli ataupun mangsa buli haruslah dicegah. Sehubungan dengan itu, semua pihak haruslah memainkan peranan mereka untuk membendung fenomena ini daripada terus menjadi lebih parah.

            Setiap pelajar harus bijak memilih rakan sebaya supaya tidak terjebak dalam gejala buli. Hal ini dikatakan demikian kerana rakan yang berakhlak baik akan mendorong pelajar untuk bersikap baik dan begitulah sebaliknya. Pelajar terjebak dalam aktiviti membuli kerana beranggapan bahawa berkawan dengan pembuli akan menjadikan mereka terkenal dan kelihatan hebat di sekolah. Bagi pelajar lelaki, menjadi terkenal dan kelihatan hebat dalam kalangan pelajar walaupun dengan cara yang salah membantu mereka untuk memikat pelajar perempuan dan begitu juga pelajar perempuan. Selain itu, perasaan ingin diterima dalam sesuatu kumpulan juga menyebabkan mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja yang menjadi rutin kumpulan terbabit termasuklah membuli. Tegasnya, kebijaksanaan dalam memilih rakan sebaya mampu mengelakkan insiden buli berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.

            Selain itu, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak mereka dengan berpandukan ajaran agama dan menanam sikap penyayang dalam diri anak-anak mereka. Pegangan agama yang kuat dan sikap penyayang yang utuh menyebabkan mereka tidak ingin mencederakan atau menghina orang lain. Ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana yang harmoni di rumah agar anak-anak mereka membesar dengan sihat tanpa dicemari oleh pemikiran yang berunsur keganasan. Pasangan suami isteri yang mempunyai masalah pula seharusnya menyelesaikan masalah dengan berbincang tanpa melibatkan pengaduhan, dan pertengkaran antara mereka haruslah dielakkan supaya tidak dilihat oleh anak-anak mereka. Kesannya, anak-anak mereka tidak akan mempraktikkan cara tersebut, iaitu pergaduhan dan kekerasan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi di sekolah. Tegasnya, pelajar yang suci daripada sifat membuli dapat dilahirkan jika sesebuah institusi kekeluargaan itu bahagia.

        Di samping itu , pihak sekolah telah dipertanggungjawabkan dalam mendidik para pelajar dan mengawal tingkah laku mereka ketika berada di sekolah. Kebiasaannya, pelajar junior mudah menjadi mangsa buli kepada pelajar senior. Pelajar senior biasanya mengambil kesempatan terhadap pelajar junior yang pada hakikatnya pasti akan mengikut cakap mereka. Antara contoh perbuatan buli yang sering dilakukan oleh pelajar senior ialah mereka menyuruh pelajar junior membeli makanan di kantin sekolah. Oleh itu, para guru haruslah memberikan lebih perhatian kepada pelajar-pelajar junior supaya mereka berasa aman dan selamat ketika berada di sekolah. Tegasnya, pihak sekolah merupakan agen terpenting dalam pencegahan gejala ini kerana mereka merupakan pihak pertama yang akan bertindak jika masalah ini berlaku di sekolah.

           Seterusnya, masyarakat juga berperanan penting dalam membanteras insiden buli di sekolah. Orang awam yang melihat gejala buli yang dilakukan oleh pelajar sekolah di dalam atau di luar kawasan sekolah haruslah mencegah perbuatan tersebut daripada terus berlaku. Tanggungjawab untuk memantau pergerakan para pelajar di dalam atau di luar kawasan sekolah kini bukan sahaja terletak di bahu para guru, tetapi juga di bahu setiap orang awam. Orang awam haruslah menjadi mata dan telinga kepada pihak sekolah untuk membendung gejala ini. Dengan itu, pihak sekolah dapat mengenal pasti pelajar yang terlibat dan tindakan segera dapat diambil untuk mengatasi masalah ini. Tegasnya, usaha untuk membendung gejala buli akan menjadi lebih berkesan jika orang awam dalam masyarakat bekerjasama dengan pihak sekolah.

          Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran juga perlu terlibat dalam usaha mencegah insiden buli di sekolah. Pengenalan undang-undang terhadap kesalahan membuli dalam kalangan pelajar sedikit sebanyak mampu meredakan peningkatan gejala ini di sekolah. Melalui undang-undang yang dikuatkuasakan, tindakan tegas dapat diambil terhadap pembuli supaya mereka sedar akan kesilapan yang telah dilakukan dan mereka tidak akan mengulangi semula kesalahan tersebut pada masa hadapan. Antara tindakan yang dapat diambil oleh kerajaan ialah mengenakan denda kepada pembuli seperti melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat. Selain itu, program yang dapat mendisiplinkan pelajar yang bermasalah seperti program Kem Waja Diri haruslah dipergiatkan di semua sekolah. Program seperti ini sedikit sebanyak mampu menyedarkan pelajar yang bermasalah supaya kembali kepada matlamat sebenar mereka datang ke sekolah, iaitu belajar menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara.

            Kesimpulannya, setiap penyakit pasti ada penawarnya. Walaupun langkah-langkah yang diambil kelihatan tidak mampu mencegah insiden buli di sekolah sepenuhnya, namun setidaknya langkah-langkah tersebut mampu memberikan sedikit impak positif dalam usaha murni tersebut. Kerjasama semua pihak merupakan kata kunci kepada penyelesaian masalah ini di sekolah. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam usaha membendung insiden buli di sekolah supaya kita dapat mewujudkan suasana sekolah yang aman dan selamat untuk para pelajar.

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING