22 May
22May

Aspek bahasa sangat dititikberatkan dalam penulisan karangan bahasa Melayu, terutamanya karangan fakta. Pelajar harus menggunakan laras bahasa yang bersesuaian dan mengurangkan kesalahan bahasa dalam penulisan supaya tidak memberi kesan kepada pemarkahan. Aspek bahasa dalam karangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinilai dari segi penggunaan ayat, frasa, kata, ejaan dan tanda baca. Penguasaan aspek bahasa yang tinggi membolehkan pelajar membentuk ayat-ayat yang gramatis dan seterusnya menghasilkan karangan yang cemerlang.

[Klik di sini untuk mengetahui kesalahan ejaan, imbuhan, istilah dan tatabahasa dalam karangan.]


(a) Ayat

  • Pelajar perlu mempelbagaikan jenis ayat dalam penulisan karangan.
  • Penggunaan pelbagai jenis, bentuk atau ragam ayat menunjukkan bahawa pelajar menguasai aspek sintaksis dalam bahasa Melayu.
  • Selain itu,  kepelbagaian jenis ayat dalam karangan dapat menggelakkan karangan bersifat statik dan tidak menarik.
  • Penggunaan ayat tunggal yang banyak akan menyebabkan ayat menjadi kurang gramatis. Contoh:
  1. Ibu pergi ke pasar. Adik pergi ke pasar. Mereka membeli ayam. Mereka membeli ikan. Mereka membeli sayur.
  2. Kereta itu berwarna merah. Kereta itu besar. Kereta itu sangat mahal.
  3. Fatimah tidak pergi ke sekolah pada hari ini. Fatimah keracunan makanan.
  • Pelajar boleh menggunakan pelbagai jenis ayat majmuk untuk menggabungkan dua ayat tunggal atau lebih. Contoh:
  1. Ibu dan adik pergi ke pasar. Mereka membeli ayam, ikan dan sayur.
  2. Kereta yang berwarna merah dan besar itu sangat mahal.
  3. Fatimah tidak pergi ke sekolah pada hari ini kerana keracunan makanan.

[Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang ayat majmuk.]

  • Bagi ragam ayat, pelajar perlu menggunakan ayat aktif dan ayat pasif dengan betul.
  • Ayat aktif mengandungi kata kerja yang perlu diikuti oleh objek. Contoh:
  1. Abu menyepak bola.
  2. Sakilah membaca buku.
  3. Aishah memakan nasi.
  • Selain ayat aktif, pelajar juga boleh menggunakan ayat pasif dalam karangan. 
  • Kebiasaannya, ayat pasif mengandungi kata kerja yang menerima imbuhan awalan ‘di-...’ dan diikuti oleh perkataan ‘oleh’. Contoh:
  1. Bola disepak oleh Abu.
  2. Buku dibaca oleh Sakilah.
  3. Nasi dimakan oleh Aishah.

[Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang ragam ayat.]

  • Seterusnya, pelajar perlu mengelakkan kesalahan ayat pasif kata ganti nama diri pertama, kedua dan ketiga. Contoh:

Kata Ganti Nama Diri (KGND)

Kesalahan

Sebab Kesalahan 

Pembetulan

Pertama

Baju itu dibeli oleh saya.

Bentuk ayat pasif KGND pertama disamakan dengan bentuk ayat pasif KGND  ketiga.

Baju itu saya beli.

Kedua

Latihan itu perlu disiapkan oleh kamu dengan segera.

Bentuk ayat pasif KGND kedua disamakan dengan bentuk ayat pasif KGND  ketiga.

Latihan itu perlu kamu siapkan dengan segera.

Ketiga

Isu yang pihak pembangkang timbulkan perlu disiasat.

Bentuk ayat pasif KGND ketiga disamakan dengan bentuk ayat pasif KGND  pertama dan kedua.

Isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang perlu disiasat.


[Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang ayat pasif kata ganti nama diri pertama, kedua dan ketiga.]

  • Pelajar juga perlu menggelakkan penggunaan ayat tergantung dalam penulisan karangan.
  • Ayat tergantung kerana tidak mempunyai subjek atau predikat. Contoh:

Sebab Kesalahan

Kesalahan

Pembetulan

Ayat tidak mengandungi subjek.

Daripada tidur, lebih baik bekerja.

Daripada tidur, lebih baik kamu bekerja.

Ayat tidak mengandungi predikat.

Yang menimbulkan masalah kepada orang ramai.

Yang menimbulkan masalah kepada orang ramai ialah kenaikan harga barang


  • Selanjutnya, penggunaan ayat yang berbunga-bunga harus dielakkan, terutamanya dalam karangan fakta.
  • Ayat yang digunakan haruslah mempunyai maksud tersurat supaya mudah untuk ditafsir dan difahami oleh pembaca.


(b) Frasa

  • Pelajar perlu menguasai pola-pola frasa yang terdapat dalam bahasa Melayu.
  • Pelajar perlu menguasai hukum D-M bagi mengelakkan kesalahan penggunaan frasa nama. Contoh:
  1. Abu pergi ke perpustakaan mini. (bukan mini perpustakaan)
  2. Saya juga perlu memikirkan hal-hal lain. (bukan lain-lain hal)

[Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang hukum D-M.]

  • Frasa kerja yang mengandungi kata kerja aktif transitif perlu diikuti oleh objek. Contoh:
  1. Pelajar membaca buku di perpustakaan.
  2. Kertas kerja ini membincangkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

[Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kata kerja aktif transitif.]

  • Frasa kerja yang mengandungi kata kerja tak transitif memerlukan kata sendi untuk disambungkan dengan frasa nama. Contoh:
  1. Mereka sedang berbincang tentang perkara itu.
  • Frasa adjektif yang bersifat emotif perlu disertakan dengan kata sendi selepasnya. Contoh:
  1. Kita perlu cinta akan negara.

[Klik di sini untuk mengetahui frasa adjektif dengan lebh lanjut.]

  • Kata penguat ‘sekali’ dan ‘paling’ tidak boleh hadir serentak dalam frasa adjektif. Contoh:
  1. Nilai yang paling tinggi ialah 90%.
  2. Nilai yang tinggi sekali ialah 90%.
  • Perkataan yang hadir selepas kata sendi ‘dari’ dan ‘ke’ dalam frasa sendi nama perlu menerima imbuhan se- atau digugurkan imbuhan se- pada kedua-duanya. Contoh:
  1. Negara semakin berkembang dari masa ke masa.
  2. Negara semakin berkembang dari semasa ke semasa.


(c) Kata

  • Pelajar perlu mengelakkan kesalahan kata dalam penulisan karangan. Contoh:

i. kesalahan kata nama

Kesalahan

Contoh Kesalahan

Sebab Kesalahan

Pembetulan

Penggunaan KGND orang ketiga yang salah.

Rakyat-rakyat Malaysia harus mempertahankan kemerdekaan negara.

Menggandakan KGND ketiga yang membawa maksud jamak.

Rakyat Malaysia harus mempertahankan kemerdekaan negara.

Penggunaan KGND tanya dalam ayat penyata.

Kamu boleh bertanya kepada saya tentang apa sahaja.

Kata tanya apa berfungsi sebagai kata ganti nama diri tanya dan hadir dalam ayat tanya.

Kamu boleh bertanya kepada saya tentang apa-apa sahaja.

Penggunaan kata ganti nama ‘ia’.

Gejala buli perlu dibanteras kerana ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada pelajar.

Kata ganti nama diri ‘ia’ tidak boleh digunakan untuk benda atau perkara.

Gejala buli perlu dibantera kerana gejala ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada pelajar.


ii. kesalahan kata kerja

Kesalahan

Contoh Kesalahan

Sebab Kesalahan

Pembetulan

Imbuhan awalan pada kata kerja transisitf digugurkan.

Kita perlu syukuri nikmat yang diberikan oleh Tuhan.

Kata kerja ‘syukuri’ perlu menerima awalan men- bagi melengkapkan makna dan menjadikan ayat gramatis.

Kita perlu mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Tuhan.

Akhiran …-I ditambah pada kata terbitan ‘memperoleh’ dan ‘diperoleh’.

Abu memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM.

Kata kerja ‘memperoleh’ dan ‘diperoleh’ tidak memerlukan akhiran …-i selepas kata kerja tersebut.

Abu memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.


iii. kesalahan kata terbitan

Kesalahan

Contoh Kesalahan

Sebab Kesalahan

Pembetulan

Imbuhan apitan  memper-…-kan digunakan pada kata adjektif.

Tiupan angin mempercepatkan kebakaran hutan tersebut.

Kata adjektif yang menerima imbuhan memper-… tidak perlu diikuti oleh imbuhan akhiran …-kan.

Tiupan angin mempercepat kebakaran hutan tersebut.


iv. kesalahan kata ganda

Kesalahan

Contoh Kesalahan

Sebab Kesalahan

Pembetulan

Kata nama yang didahului oleh perkataan yang membawa maksud jamak digandakan.

Para pelajar-pelajar perlu mendengar nasihat guru.

Kata bilangan ‘para’ sudah membawa maksud jamak.

Para pelajar perlu mendengar nasihat guru.

Kata majmuk yang dieja terpisah digandakan secara keseluruhan.

Guru besar-guru besar harus memainkan peranan mereka.

Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama sahaja.

Guru-guru besar harus memainkan peranan mereka.

Kata penguat ‘sangat’, ‘amat’ dan ‘saling’ digunakan sebelum kata ganda.

Kita perlu saling bantu-membantu antara satu dengan yang lain.

Kata ‘saling’ sudah membawa maksud perbuatan yang berulang atau jamak.

Kita perlu saling membantu antara satu dengan yang lain.


v. kesalahan kata tugas

Kesalahan

Contoh Kesalahan

Sebab Kesalahan

Pembetulan

Kata pemeri yang digunakan tidak tepat/sesuai.

Tujuan aktiviti ini ialah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

Kata pemeri ‘adalah’ hadir di hadapan frasa sendi nama dan frasa adjektif, manakala ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama.

Tujuan aktiviti ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

Rumah yang besar itu adalah rumah Abu.

Rumah yang besar itu ialah rumah Abu.

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa esok cuti sekolah.

Kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan ayat.

Dengan ini dimaklumkan bahawa esok cuti sekolah.

Bangunan itu ialah merupakan bekas kediaman penjajah.

Kata ‘merupakan’ juga berfungsi sebagai kata pemeri.

Bangunan itu ialah/merupakan bekas kediaman penjajah.

Rumah itu adalah bukan untuk dijual.

Kata pemeri tidak boleh diikuti dengan kata nafi.

Rumah itu adalah bukan untuk dijual.

Kata hubung yang digunakan tidak tepat/sesuai.

Kertas itu mudah terbakar bila dipanaskan.

Kata tanya digunakan sebagai kata hubung.

Kertas itu mudah terbakar apabila dipanaskan.

Kebanyakan pelajar takut untuk melaporkan aktiviti buli yang mana perbuatan itu menyebabkan keselamatan mereka terancam.

Ayat dihubungkan dengan kata yang bukan kata hubung, iaitu ‘yang mana’.

Kebanyakan pelajar takut untuk melaporkan aktiviti buli yang menyebabkan keselamatan mereka terancam.

Maklumat itu tidak dapat digunakan oleh kerana tidak sahih.

Kata ‘kerana’ ialah kata hubung yang tidak boleh hadir selepas kata sendi nama ‘oleh’.

Maklumat itu tidak dapat digunakan oleh sebab/kerana tidak sahih.

Kata bilangan yang digunakan tidak tepat/sesuai.

Kelima-lima pelajar itu ditangkap kerana merokok di dalam kawasan sekolah.

Kata bilangan himpunan tidak diikuti oleh penjodoh bilangan.

Kelima-lima orang pelajar itu ditangkap kerana merokok di dalam kawasan sekolah.

Beribu orang pelajar mengikuti kempen antibuli itu.

Kata bilangan himpunan tidak digandakan.

Beribu-ribu orang pelajar mengikuti kempen antibuli itu.

Kanak-kanak itu berusia tiga setengah tahun.

Kata bilangan tentu didekatkan sekali gus dengan kata bilangan pecahan.

Kanak-kanak itu berusia tiga tahun setengah.

Semua orang pelajar wajib mengisi borang itu.

Kata bilangan tak tentu semua hadir bersama penjodoh bilangan.

Semua pelajar wajib mengisi boring itu.

Pelajar boleh menggunakan berbagai cara untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Kata bilangan tak tentu ‘berbagai’ tidak digandakan.

Pelajar boleh menggunakan berbagai-bagai/pelbagai cara untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Kata nafi yang digunakan tidak tepat/sesuai.

Berita itu bukan benar belaka.

Kata nafi ‘bukan’ untuk menafikan frasa nama dan frasa sendi nama, manakala ‘tidak’ untuk menafikan frasa adjektif dan frasa kerja.

Berita itu tidak benar belaka.

Kata sendi nama yang digunakan tidak tepat/sesuai.

Hasil di dalam kajian itu menunjukkan bahawa pelajar lelaki lebih cenderung terlibat dalam gejala buli.

Kata sendi ‘di’ hanya digunakan untuk tempat yang mempunyai ruang.

Hasil dalam kajian itu menunjukkan bahawa pelajar lelaki lebih cenderung terlibat dalam gejala buli.

Hubungan di antara dua buah negara itu amat baik.

Hubungan antara dua buah negara itu amat baik.

Abu sanggup bekerja demi untuk menyara kehidupan keluarganya.

Kata sendi ‘demi’ dan ‘untuk’ tidak boleh digunakan serentak kerana mempunyai maksud yang sama, iaitu tujuan.

Abu sanggup bekerja demi/untuk menyara kehidupan keluarganya.

Surat aduan itu telah dihantar ke pihak pengurusan UPSI.

Kata sendi ‘kepada’ perlu digunakan di hadapan kata nama yang merujuk sasaran.

Surat aduan itu telah dihantar kepada pihak pengurusan UPSI.

Maklumat itu diperoleh dari orang luar.

Kata sendi ‘dari’ merujuk masa, arah dan tempat, manakala ‘daripada’ merujuk orang, punca, sumber, asal kejadian sesuatu dan perbandingan.

Maklumat itu diperoleh daripada orang luar.


vi. penggunaan kata/istilah yang tidak tepat

Kesalahan

Contoh

Sebab Kesalahan

Pembetulan

‘boleh’ dan ‘dapat’

Dia tidak dapat hadir ke majlis itu.

.Penggunaan kata/istilah yang tidak tepat dalam ayat.

Dia tidak boleh hadir ke majlis itu.

‘pedalaman’ dan ‘pendalaman’

Wanita itu berasal dari kawasan pendalaman.

Wanita itu berasal dari kawasan pedalaman.

‘baru’ dan ‘baharu’

Kereta itu baharu dibeli oleh abang.

Kereta itu baru dibeli oleh abang.


(d) Ejaan

  • Kesalahan ejaan berlaku kerana pelajar tidak menguasai peraturan dalam sistem ejaan bahasa Melayu.
  • Antara kesalahan ejaan yang sering dilakukan adalah seperti berikut:

i. kesalahan mengeja kata berimbuhan. Contoh:

Salah

Betul

kebanyakkan

kebanyakan

mengadap

menghadap

merubah

mengubah

menyatakan

mengatakan

proAmerika

pro-amerika

mengantikan

menggantikan

mengalakan

menggalakkan

mengenepikan

mengetepikan

anti sosial

antisosial

menghadkan

mengehadkan


ii. kesalahan mengeja kata majmuk

Salah

Betul

dikenalpasti

dikenal pasti

samada

sama ada

warga negara

warganegara

menemubual

menemu bual

urusetia

urus setia

mencampur adukkan

mencampuradukkan

sekaligus

sekali gus

hubungkait

hubung kait

matapelajaran

mata pelajaran

ibubapa

ibu bapa

tengahari

tengah hari


iii. kesalahan mengeja kata pinjaman

Salah

Betul

e-mail

e-mel

jernal

jurnal

klas

kelas

pelan

plan

otomatik

automatik

setor

stor

oksijen

oksigen

strateji

strategi


iv. kesalahan mengeja kata umum

Salah

Betul

ketrampilan

keterampilan

ide

idea

kueh

kuih

logat

loghat

keset

kaset

menggembling

menggembleng

tauladan

teladan

tulin

tulin

kurniaNya

kurni-nya


(e) Tanda Baca

  • Tanda baca ialah lambing-lambang yang digunakan dalam penulisan untuk memberi penekanan tentang makna yang ingin disampaikan.
  • Pelajar sering melakukan kesalahan tanda baca tanpa disedari.
  • Berikut adalah antara contoh kesalahan tanda baca.

i. Tanda sempang tidak diletakkan pada kata ganda penuh dan berentak. Contoh:

Kesalahan

Pembetulan

buku buku

buku-buku

kedai kedai

kedai-kedai

kejar mengejar

kejar-mengejar

gunung ganang

gunung-ganang


ii. Tanda sempang tidak diletakkan antara kata nama am dengan kata nama khas. Contoh:

Kesalahan

Pembetulan

hambaMu

hamba-Mu

pro Amerika

pro-Amerika


iii. Tanda sempang tidak diletakkan antara angka yang merujuk tahun dengan akhiran '…-an'. Contoh:

Kesalahan

Pembetulan

tahun 90an

tahun 90-an

tahun 1950an

tahun 1950-an


iv. Tanda koma tidak diletakkan selepas penanda wacana. Contoh:

Kesalahan

Pembetulan

Selain itu kita perlu…

Selain itu, kita perlu…

Di samping itu pihak berkuasa perlu…

Di samping itu, pihak berkuasa perlu…


v. Tanda noktah tidak diletakkan bagi kata singkatan. Contoh:

Kesalahan

Pembetulan

Prof.

Prof.

Dr

Dr.


vi. Tanda seru diletakkan di kedudukan yang salah. Contoh:

Kesalahan

Pembetulan

Aduhai! malang sungguh nasibku.

Aduhai, malang sungguh nasibku!

Wau! Besarnya kereta awak.

Wau, besarnya kereta awak!


vii. Tanda baca yang tidak sesuai digunakan dalam ayat. Contoh:

Kesalahan

Pembetulan

Kita perlu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa: bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Kita perlu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.


viii. Tanda baca diletakkan di tempat yang tidak memerlukannya. Contoh:

Kesalahan

Pembetulan

Perpaduan, ialah asas kepada kemakmuran negara.

Perpaduan ialah asas kepada kemakmuran negara.

Kita perlu menjaga eko-sistem hutan.

Kita perlu menjaga ekosistem hutan.


ix. Tanda baca digugurkan di tempat yang memerlukannya. Contoh:

Kesalahan

Pembetulan

Saya sudah menghantar emel kepada awak.

Saya sudah menghantar e-mel kepada awak.

Rakyat yang tidak bersefahaman akan berpecah belah.

Rakyat yang tidak bersefahaman akan berpecah-belah.

Namun begitu kemajuan teknologi boleh meracuni minda anak-anak muda.

Namun begitu, kemajuan teknologi boleh meracuni minda anak-anak muda.

Jika kamu memilih untuk berdiam diri maka kamu rela negara kamu dijajah.

Jika kamu memilih untuk berdiam diri, maka kamu rela negara kamu dijajah.

Kini penggunaan telefon pintar semakin penting dalam masyarakat.

Kini, penggunaan telefon pintar semakin penting dalam masyarakat.
















Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING